Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) Ahmad_Boestamam

Boestamam kemudian menubuhkan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM). PKM yang mahu menguasai Tanah Melayu dengan cara perlembagaan telah membentuk satu "Barisan Bersatu Malaya" untuk mempengaruhi parti-parti politik Melayu dan kesatuan sekerja India. Penyerapan unsur PKM ke dalam masyarakat ini dipercayai dapat memperkenalkan mereka dengan gagasan sosialisme dan seterusnya komunisme. Dengan itu, cita-cita untuk membentuk sebuah republik komunis di Tanah Melayu akan menjadi lebih mudah.

Dengan itu, Ahmad telah bekerjasama secara sedar dengan pihak PKM yang juga bersifat penjajahan ke atas Tanah Melayu. Hal ini kerana PKM ialah anak Parti Komunis China yang bekerjasama dengan Comintern, iaitu pertubuhan komunis antarabangsa yang berada di bawah pengaruh Rusia.

Ahmad membenarkan PKM mempengaruhi PKMM. Sikapnya ini bukan sahaja kerana pentadbiran Tanah Melayu berada di bawah penguasaan PKM, tetapi juga kerana bantuan kewangan dan pengurusan surat khabarnya, Suara Rakyat dan Voice of the People dipegang oleh PKM. Teraju utama, iaitu Presiden PKMM juga dikuasai oleh PKM, melalui Mokhtaruddin Lasso, seorang pelarian politik Parti Komunis Indonesia (PKI) yang menjadi ketua orang Melayu Regimen ke-10 MPAJA.

Akhirnya, PKM menentukan dasar politik PKMM. Dasar politik untuk melindungi dan berjuang bagi mewujudkan perasaan kebangsaan, memajukan ekonomi, pelajaran dan keadilan bagi masyarakat Melayu telah diubah oleh PKM. PKM juga telah meletakkan satu dasar yang penting yang melambangkan pembentukan sebuah bangsa "Malayan", sesuai dengan dasarnya mewujudkan Barisan Bersatu Malayan pada masa depan. Dengan itu, dasar PKMM tidak lagi bersifat Melayu seratus peratus. Ia telah disesuaikan dengan cita-cita PKM.

Ahmad menyedari hal tersebut, maka untuk mengimbangi pengaruh politik PKM, dalam persidangan yang diadakan pada 30 November 1945, dasar membentuk 'Melayu Raya' atau Indonesia Raya, telah dimasukkan sebagai salah satu matlamat perjuangan PKMM. Malah, dasar ini memang sengaja ditonjolkan begitu hebat oleh Ahmad dan kumpulannya demi mengelakkan pandangan orang ramai terhadap penguasaan PKM dalam PKMM. Dasar ini juga telah membolehkan keturunan Indonesia yang menetap di Tanah Melayu.

Ahmad disokong oleh PKM. PKM telah membangkitkan pula soal tidak demokratik Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) kerana memberi dua sahaja undi kepada PKMM, seperti persatuan negeri-negeri Melayu yang lain, yang dikatakannya lebih kecil daripada PKMM. PKM juga menuduh UMNO sebuah parti yang konservatif dan tidak menggunakannya sebagai biasiswa kepada anak-anak Melayu, yang dianggapnya remeh.

Kerajaan British telah menyokong UMNO. Bagi kerajaan British, UMNO ialah sebuah parti politik yang lebih sederhana, tidak dipengaruhi sebarang unsur luar yang mengancam kedudukan politik dan ekonominya serta tidak mempunyai sejarah penentangan terhadap pihak British, seperti PKMM yang dipimpin oleh beberapa orang bekas anggota KMM. UMNO juga direstui oleh raja-raja Melayu yang merupakan lambang ketuanan orang Melayu. Sokongan raja-raja Melayu kepada UMNO sangat penting diakui kerana raja-raja Melayu merupakan ketua kerajaan negeri yang membuat perjanjian dengan kerajaan British. Kebijaksanaan UMNO menarik raja-raja Melayu memihak kepada mereka telah memerangkap kerajaan British untuk mengakui kepentingan UMNO.

Sekali lagi Ahmad Boestamam dan PKMM telah dipengaruhi oleh PKM untuk menubuhkan Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA) sebagai satu badan radikal Melayu yang besar bagi bergabung dengan AMCJA, sebuah gabungan parti politik bukan Melayu yang juga dipengaruhi oleh PKM. Kedua-dua organisasi kemudian menjadi penentang yang penting kerana telah mengeluarkan Perlembagaan Rakyat sebagai satu perlembagaan pilihan kepada orang ramai, selain Perjanjian Persekutuan 1948 yang disediakan oleh UMNO, raja-raja Melayu dan kerajaan British.

Dengan mempunyai satu dasar yang tidak bertumpu kepada kepentingan orang Melayu sepenuhnya, bererti Ahmad Boestamam dan PKMM telah bertentang arus dengan nasionalisme Melayu pada tahun 1946. Dikatakan adanya pertentangan ini kerana penentangan orang Melayu terhadap Malayan Union ialah kemuncak gerakan nasionalisme mereka selama ini. Gerakan nasionalisme Melayu yang bermula begitu lambat dan tidak begitu mencabar kerajaan British telah menjadi cukup tegang dengan pengenalan Malayan Union. Hal ini kerana gerakan anti-Malayan Union itu telah membangkitkan kesedaran politik yang cukup jelas sehingga melibatkan kaum wanita yang selama ini tertutup dengan peranan tradisional mereka. Pengenalan Malayan Union telah menyatupadukan orang Melayu, bukan sahaja di kalangan rakyat tetapi juga raja-raja Melayu dan para pembesar tradisional yang selama ini terpisah dengan rakyat jelata. Penentangan itu merupakan satu gerakan yang telah mencabar kerajaan British sehingga terpaksa tunduk kepada kehendak mereka.